MENGAPA PENDAKWAH, TAPI JAWAPAN SEPERTI PENYANYI?


Baru-baru ini digemparkan dengan isu bayaran ceramah untuk satu sesi sehingga mencecah RM 40 000. Bahkan sebelum ini juga kita pernah mendengar penyanyi berserban juga dijemput sehingga mencecah bayarannya RM 10 000 sekali sesi. Terbaca beberapa kenyataan yang menyokong tindakan tersebut atas alasan keikhlasan pendakwah dan penceramah tidak boleh dipertikaikan.

Ikhlas Amalan Hati

Benar jika kita katakan keikhlasan mana-mana penceramah mahupun pendakwah tidak sedikit pun boleh dipertikaikan kerana kita tidak diperintahkan untuk menggali isi hati manusia.

Sabda Nabi Sallallahu’alaihiwasallam ketika menegur kesilapan Usamah bin Zaid RA yang membunuh individu yang diperanginya atas sangkaan dia mengucapkan syahadah kerana takutkan pedang:

أفلا شققت عن قلبه حتى تعلم أقالها أم لا ؟

"Sudahkah kamu membelah dadanya sehingga kamu tahu dia benar-benar mengucapkan Kalimah Syahadah atau tidak?"  [ HR Muslim no: 158 ]

Ini sisi pertama yang ingin disentuh, kita bersepakat keikhlasan adalah amalan hati, dan amalan hati itu tiada yang mengetahuinya melainkan Allah, maka kita serahkan urusan hati kepada Allah Ta’ala.

SISI ITTIBA’

Namun amat menyedihkan bila membaca komen sebahagian golongan yang menyokong nilai sedemikian diminta bagi sekali ceramah dan sebagainya atas alasan “ Jika artis, penyanyi dan selebriti kita mampu bayar lebih, tak kanlah Ustaz, penceramah tak boleh?”

Bagi sesetengah orang jawapan ini dikira paling bernas dan paling baik. Namun jika diteliti semula jelas sekali jawapan seperti ini langsung tiada nilainya dalam agama:

Pertama: Ia adalah qiyas ma’al faariq, nilai agama tidak boleh dinilai dengan duit ringgit, kerana ia tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Kedua: Pendakwah bukan seperti selebriti atau artis dan penyanyi, kerana pendakwah tugasnya menyampaikan agama Allah, bukan seperti artis dan penyanyi yang tugasnya menghibur dan menggembirakan manusia.

Bagi orang awam mereka hanya melihat nilai tersebut tidak wajar hanya kerana bilangan “0”nya itu ada empat, lima atau enam sedangkan ramai lagi pendakwah, guru agama, penceramah yang lebih baik manhaj, akidah dan pegangannya berbanding golongan sedemikian tidak bersikap “demand” seperti kebiasaan golongan artis dan selebriti, sudah tentu ia sesuatu yang sangat menjengkelkan.

PARA RASUL TIDAK MINTA MELAINKAN SEKADAR HAJAT

Sebelum menutup tulisan ringkas ini, suka penulis berkongsi contoh teladan yang sepatutnya dicontohi oleh para pendakwah iaitulah bagaimana Nabi Musa ‘Alaihissalam ketika meminta kepada Allah supaya dihilangkan *luthghah yang menghalang lidahnya untuk bercakap jelas ketika berdakwah di hadapan Firaun, Nabi Musa hanya meminta sekadar hajat dan tidak minta lebih dari hajat dan sebab itulah lidah baginda masih tidak terlepas dari *luthghah tersebut secara penuh sehingga menyebabkan Firaun masih menghinanya. Rujuk surah Taha:24-28 dan Al-Zukhruf:52.

Kata Hasan Al-Basri rahimahullah:

والرسل إنما يسألون بحسب الحاجة، ولهذا بقيت في لسانه بقية..

“ Para Rasul sesungguhnya mereka tidak meminta ( dalam urusan dunia ) melainkan sekadar hajat, sebab itulah kekal di lisannya (Nabi Musa) simpulan yang berbaki..”.   [ Al-Bidayah wa An-Nihayah 2/24 ]

Ya para pendakwah, penceramah, guru agama ada hak dan tanggungjawab mereka yang perlu mereka tanggung namun mintalah sekadar hajat seperti permintaannya Nabi Musa, di sini anda selaku pendakwah perlu bijak, jangan jawapan anda sama levelnya dengan artis atau penyanyi atau anda sendiri hakikatnya bukan pendakwah sebaliknya hakikat anda adalah seperti apa yang anda jawab.

Semoga Allah mengurniakan kita semua keikhlasan dan ikutan terhadap Rasul.


MFAZ

* Iaitu lisan yang apabila berbicara akan tertukar sebutan huruf-huruf yang berdekatan makhrajnya seperti sinس dengan tha ث atau ر dengan غ dll.

Comments