MENGAPA TIDAK RAMAI ULAMA SALAFI SEBELUM 1000 HIJRAH YANG MENSYARAHKAN SAHIH AL-BUKHARI?



Ada pertanyaan daripada seorang hamba Allah yang tidak dikenali berkenaan Kitab Syarah bagi Sahih Al-Bukhari yang ditulis oleh Ulama Salafi.

Maka dijawablah  soalan hamba Allah ini dengan penulis menyebutkan beberapa nama Syarahan Ulama Salafi zaman kini, lalu hamba Allah ini sepertinya tidak kepuasan lalu ditanya lagi  Ulama Salafi yang sebelum 1000 hijrah. Penulis tidak menjawab kerana bagi penulis apa yang telah dijawab sudah memadai.

Kemudian, tidak berapa lama terbukalah pekung si penanya ini rupanya soalan tersebut hanyalah soalan yang datang dari kekeliruannya sendiri atau dengan tujuan provokasi, beliau pun dengan bangganya mendakwa tiada seorang pun Ulama Salafi yang beliau jumpa sebelum 1000 Hijrah yang menulis Syarahan Sahih Al-Bukhari (juga Sahih Muslim), dan dalam masa yang sama beliau seakan-akan hendak mendakwa (dengan nadanya yang sinis)  inilah kehebatan atau kebenaran Asya'irah kerana majoriti pensyarah Sahih Al-Bukhari dan Muslim dari kalangan aliran ini.

Maka penulis ingin menjawab dengan ringkas:

1. Termasuk ujian Allah terhadap orang-orang Yahudi, mereka menulis kitab-kitab lalu disandarkan apa yang mereka tuliskan kepada Allah, mereka berpaling daripada Taurat lalu mereka jadikan Talmud yang disyarahkan oleh Rabai dan Ulama mereka yang menyelewengkan Taurat sebagai asas utama sehingga Talmud itu lebih tinggi kedudukannya berbanding Taurat itu sendiri, oleh sebab itulah Allah mencela mereka. Tabiat buruk Yahudi ini pasti akan diikuti oleh sebahagian dari kalangan Umat ini sebagaimana dalam hadith لتتبعن سنن من كان قبلكم ..." Kalian pasti akan mengikuti jejak langkah golongan sebelum kalian....", buktinya bila ramai di kalangan ahli Kalam dan ahli falsafah Islam yang menjadikan kaedah-kaedah falsafah dan akal mereka sebagai penghukum atas nas-nas Al-Quran dan Al-Sunnah sehingga masyhurlah kaedah mereka تقديم العقل على النقل " Mendahulukan Akal atas Naqal", apa maksudnya? Maksudnya samalah seperti orang Yahudi yang meletakkan pandangan-pandangan Rabai dan Ulama mereka melebihi Taurat itu sendiri.

2. Jika diletakkan Talmud dan Taurat, manakah dahulu yang asal? Taurat ataupun Talmud?. Kalau ada yang kata Talmud sah-sah dia  dalam kategori pengikut Rabai yang menyeleweng lagi bid'ah. Begitulah analogi yang boleh kita buat supaya kita faham kalau diletakkan Al-Quran dengan Tafsir Al-Kasyyaf oleh Al-Zamakhsyari, siapa yang asal Al-Quran itu sendiri atau Tafsir Al-Zamakhsyari?, kalau ada yang kata Al-Zamakhsyari sah-sahlah dia jahil ataupun gila. Demikianlah juga kalau diletakkan Sahih Al-Bukhari dengan Umdah Al-Qari karangan Al-'Aini, manakah satunya yang asal? Sudah tentu orang yang waras akan mengatakan Sahih Al-Bukhari bukan Umdah Al-Qari.

3. Kekeliruan yang datang dari si penanya ini adalah kerana dia hanya menghadkan Salaf ini hanyalah merujuk kepada zaman (periode masa) tidak pada Manhaj(metodologi), sebab itulah beliau gigih nak cari Ulama sebelum 1000 Hijrah yang syarahkan Sahih Al-Bukhari dan Muslim. Sebenarnya ada sahaja Ulama Salafi semisal Ibnu Rajab Al-Hanbali (Wft:795H) yang syarahkan Sahih Al-Bukhari iaitu kitabnya Fathul Bari  tetapi Ibnu Rajab tidak sempat nak menyempurnakan kitab syarahannya tersebut.

4. Jika si hamba Allah ini memaksudkan dengan soalannya ini sebagai tujuan nak menzahirkan kehebatan atau kebenaran Asya'irah atas alasan ramai bahkan majoriti Ulama Asya'irah yang mensyarahkan Sahih Al-Bukhari dan Muslim sedangkan Ulama Salafi tiada pun yang mensyarahkan Sahih Al-Bukhari kecuali yang datang selepas 1000 Hijrah maka ini satu neraca ukuran kebenaran yang sangat rapuh. Kenapa rapuh?, rujuk point no 5 di bawah.

5. Seluruh Umat sepakat Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali  RA adalah sahabat Nabi yang paling alim dan paling utama selepas Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Namun apabila menyebutkan sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadith nama keempat-empat Khulafa' Rasyidin ini tidak tersenarai, bahkan yang paling banyak meriwayatkan hadith tentulah Abu Hurairah RA (5374 hadith), Ibnu Umar RA (2630 hadith), Anas bin Malik (2286 hadith), Aisyah RA (2210 hadith), Ibnu Abbas (1660 hadith), Jabir bin Abdillah (1540 hadith) dan Abu Sa'id Al-Khudri (1170 hadith). Adakah ada dikalangan kita yang berani mendakwa tujuh orang Sahabat yang banyak meriwayatkan hadith ini lebih alim dan lebih utama berbanding Khulafa' Al-Rasyidin? Sudah tentu tidak, pointnya di sini banyaknya riwayat atau tulisan bukanlah menunjukkan keutamaan ataupun kelebihan yang boleh dijadikan neraca untuk mengukur kebenaran sebagaimana bilangan dan majoriti tidak boleh dijadikan ukuran kebenaran. Sebab itulah kata Ulama Salaf: " Ilmu itu bukan diukur dengan banyaknya riwayat tidak juga banyaknya kitab (tulisan)" 

6. Mengapa ramai dikalangan Ulama Asya'irah dan Maturidiyyah ( yang bermazhab Hanafi ) mensyarahkan Sahih Al-Bukhari?, sudah tentu siapa yang boleh kaitkan soalan dengan point pertama tulisan ini akan nampak, kalau yang tak nampak tu silalah baca sekali lagi dan cuba faham. Kita tak nafikan kebanyakan di kalangan Ahli Kalam cuba untuk mencari dalil dan hujjah menggunakan Al-Quran dan Al-Sunnah untuk membenarkan bid'ah takwil (-baca- tahrif) mereka khususunya dalam masalah Sifat Allah, sebab itulah ramai di kalangan Ulama Asya'irah yang gigih  mensyarahkan Sahih Al-Bukhari walhal Imam Al-Bukhari sendiri bukanlah ahli kalam dan tidak terjebak langsung dalam tahrif yang difahami oleh Ahli Kalam dalam masalah Sifat Allah. Tanpa kita menafikan di kalangan Ulama semisal Al-Hafiz Ibnu Hajar dan Imam An-Nawawi rahimahumallah mereka bukanlah seratus peratus bersetuju dengan Asya'irah ada juga isu yang mereka bercanggah dengan Asya'irah sebab itu mereka disebut sebagai Ulama yang terkesan atau terpengaruh dengan Asya'irah, dan Ulama Salafi terkemudian pun masih mewasiatkan supaya diambil faedah dan dirujuk kedua-dua karya Imam ini dan mereka masih memberikan tanbih pada kesalahan mereka dalam takwil sifat. Cuma kalau kita berbalik kepada asal adakah Imam Al-Bukhari seorang Asya'irah atau bermazhab Hanafi? Sudah tentulah bukan bahkan beliau adalah Salafi.


7. Kesimpulannya penulis hanya ingin menasihati para pembaca dan si penanya agar kembali bermuhasabah dan sedar diri akan betapa naifnya kita jika nak dibandingkan dengan ilmu Ulama Salaf, antara Kitab terbaik yang dicadangkan untuk kita teliti adalah kitab Ibnu Rajab فضل علم السلف على علم الخلف. Semoga Allah memberikan petunjuk kepada kita semua.





Wallahu'alam.



MFAZ

Comments