BENARKAH NABI ADAM BERTAWASSUL DENGAN KEDUDUKAN NABI MUHAMMAD?




Ahli bid'ah dan ahwa' mendakwa Nabi Adam alaihissalam setelah makan daripada pohon yang terlarang di dalam syurga, baginda bertaubat lalu bertawassul dengan menyebut hak atau jah (kedudukan) Nabi kita Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam lalu Allah menerima taubatnya. Mereka berdalilkan dengan hadith Umar bin Al-Khattab:


لَمَّا أذنَب آدَمُ الَّذي أذنَبَه رفَع رأسَه إلى العَرْشِ فقال أسأَلُكَ بحقِّ مُحمَّدٍ إلَّا غفَرْتَ لي فأوحى اللهُ إليه وما مُحمَّدٌ ومَن مُحمَّدٌ فقال تبارَك اسمُكَ لَمَّا خلَقْتَني رفَعْتُ رأسي إلى عرشِكَ فإذا فيه مكتوبٌ لا إلهَ إلَّا اللهُ مُحمَّدٌ رسولُ اللهِ فعلِمْتُ أنَّه ليس أحَدٌ أعظَمَ عندَكَ قدرًا ممَّن جعَلْتَ اسمَه مع اسمِكَ فأوحى اللهُ إليه يا آدَمُ إنَّه آخِرُ النَّبيِّينَ مِن ذُرِّيَّتِكَ وإنَّ أُمَّتَه آخِرُ الأُمَمِ مِن ذُرِّيَّتِكَ ولولا هو يا آدَمُ ما خلَقْتُكَ


" Setelah Adam berdosa (kerana makan daripada pohon terlarang) dia mengangkat kepalanya ke arah Arasy lalu berdoa: " Aku memohon kepadaMu DENGAN HAK(KEDUDUKAN) MUHAMMAD ampunilah aku", lalu Allah mewahyukan kepada Adam: " Siapa Muhammad? atau bagaimana kamu mengetahui tentang Muhammad?, jawab Adam: " Keberkatan yang melimpah bagi NamaMu, setelah Engkau menciptaku aku telah mengangkat kepalaku melihat ArasyMu dan aku dapati telah tertulis " Tiada Ilah yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah" maka aku mengetahui bahawa tiada seorang pun makhluk yang paling agung kedudukannya di sisiMu kecuali sesiapa yang Engkau jadikan namanya bersama namaMu."


Lalu Allah mewahyukan kepada Adam: " Wahai Adam sesungguhnya dia (Muhammad) adalah Nabi yang terakhir dari zuriat keturunanmu, dan sesungguhnya umatnya adalah umat yang terakhir dari kalangan zuriat keturunanmu, kalaulah tidak kerananya Aku tidak akan menciptakanmu."


[ Mu'jam Al-Awsat Al-Tabarani 6/313, Al-Mustadrak Al-Hakim no:4228, Dalaail An-Nubuwwah Al-Baihaqi 5/489 ]


Mereka mendakwa Adam telah bertawassul dengan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam sebelum kewujudannya, tidak mungkin Adam bertawassul dengan doanya akan tetapi mestilah baginda bertawassul dengan hak (kedudukan) Nabi Muhammad di sisi Allah.


JAWAPAN:


  1. Hadith ini adalah hadith palsu lagi dusta, tidak sabit daripada Nabi Sallalahu'alaihiwasallam. Di dalam sanadnya terdapat perawi yang dituduh pendusta dan pemalsu hadith.


Menurut Imam Ibnu Kathir: " Dalam sanadnya ada perawi bernama Abd Rahman bin Zaid bin Aslam, dan pada beliau ada beberapa kalam (kritikan ulama)." [ Al-Bidayah wa An-Nihayah 2/299 ] 


Al-Haithami mengulas: " Di dalam sanadnya ada perawi yang tidak aku kenali mereka". [ Majma' Al-Zawaid 8/256 ] 


Kata Al-San'ani: " Aku tidak mengetahui bagaimana kesahihannya." [ Al-Insaf fi Haqiqati Awliya' hal 96 ]


Kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah:


" Hadith ini tiada asalnya, ia termasuk dari jenis apa yang diriwayatkan oleh orang awam berupa hadith-hadith palsu, tiada didapati seorang pun Imam-imam Islam yang berhujjah dengannya dan menjadikan ia sebagai sandaran."  [ Al-Istighatsah 1/67 ] 


Kata Al-'Allamah Bin Baz: " Palsu"

[ Majmu' Fatawa Ibn Baz 26/332 ]


Syeikh Al-Albani juga menghukum hadith ini sebagai palsu  [ Silsilah Ad-Dha'ifah no:25, Al-Tawassul hal 103 ] 



  1. Nabi Adam alaihissalam telah menerima daripada Allah beberapa Kalimah lalu Allah menerima taubatnya, tidak sabit bahawa Nabi Adam bertawassul dengan hak Nabi atau jah(kedudukannya), kalaulah ianya sabit tentulah ahli tafsir di kalangan Salaf telah menyebutkan ketika mereka mentafsirkan Kalimaat yang diterima Adam.


  1. Taubat berlaku dengan mengiktiraf dosa yang dilakukan dan beristighfar memohon keampunan daripadanya, dan ia sudah terkandung dalam doa Nabi Adam yang telah diajarkan Allah:


قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ


Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".  [ Al-Araf:23 ]


Apabila telah terhasilnya keampunan dengan taubat maka tercapailah maksud taubat dan tidaklah Nabi Adam berhajat kepada selainNya lagi.


  1. Kalaulah Nabi Adam telah bertawassul dengan hak Nabi Muhammad lalu baginda diampunkan disebabkan doa tawassul tersebut tentulah umat Nabi Muhammad lebih berhak untuk mengungkapkan doa tawassul tersebut ketika melakukan kesalahan dan dosa, sudah tentulah Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sendiri akan memerintahkan supaya umatnya berdoa dengan ungkapan tawassul tersebut akan tetapi hal tersebut tidak diperintahkan, tidak juga ada nukilan daripada sahabat Nabi yang mengamalkan doa tersebut demikian juga para Ulama Salaf. Hal ini dengan sendiriny membuktikan kebatilan dakwaan tersebut.


  1. Termasuk perkara yang sudah dimaklumi, sesiapa sahaja yang lebih rendah kedudukannya berbanding Nabi Adam alaihissalam dari kalangan orang-orang kafir dan fasiq jika mereka bertaubat kepada Allah maka Allah akan menerima taubat mereka walaupun mereka tidak bersumpah atau bertawassul dengan nama sesiapa pun,  bagaimana boleh diterima dakwaan bahawa Nabi Adam berhajat kepada seseorang selain Allah untuk bertaubat kepada Allah sedangkan hal tersebut juga tidak disyaratkan kepada mereka yang ingin bertaubat dari kalangan pelaku dosa sama ada orang mukmin dan kafir sekalipun? 


Maka jelas sekali berdasarkan kelima-lima jawapan ini terbuktilah kebatilan dakwaan tersebut.




Wallahu'alam



MFAZ 


Rujukan:


Mausu'ah Al-Aqidah wa Adyan jil 1 hal 10-12, Daar Al-Tauhid, cetakan pertama 1439H/2018M


Al-Mausu'ah Al-Hadithiyah, Al-Durar Al-Saniyah 









Comments