VAKSINASI: KALIAN LEBIH MENGETAHUI URUSAN DUNIA KALIAN






Sejak kebelakangan ini polemik berkenaan vaksinasi ini sering menjadi perbualan, perbincangan tidak kurang juga pertikaman lidah antara pihak yang pro dan yang kontra. 


Kita memang boleh berbeza pendapat namun menjadikan isu vaksinasi ini seperti isu akidah, atau usul (prinsip) agama sehingga ada yang menghukum mereka yang menerima vaksin sebagai "kotor", "najis" atau terpedaya dengan Yahudi sangatlah tidak boleh diterima.


Secara peribadinya penulis ada juga mengikuti perbincangan berkenaan vaksin melalui sudut pandang kedua-dua pihak. Penulis tidak mahu mengulas sesuatu yang bukan bidang penulis. Dalam tulisan yang ringkas ini penulis hanya ingin tekankan kaedah penting yang ditunjukkan oleh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam dalam isu ini.


Imam Muslim meriwayatkan di dalam Sahihnya sebuah hadith daripada Aisyah dan Anas bin Malik RA:


أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِقَوْمٍ يُلَقِّحُونَ فَقَالَ لَوْ لَمْ تَفْعَلُوا لَصَلُحَ قَالَ فَخَرَجَ شِيصًا فَمَرَّ بِهِمْ فَقَالَ مَا لِنَخْلِكُمْ قَالُوا قُلْتَ كَذَا وَكَذَا قَالَ أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ


Nabi Sallahu 'alaihi wasallam pernah melewati suatu kaum yang sedang mengkacukkan pohon kurma lalu beliau bersabda: "Sekiranya mereka tidak melakukannya, kurma itu akan (tetap) baik." Tapi setelah itu, ternyata kurma tersebut tumbuh dalam keadaan rosak. Hingga suatu ketika Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam melewati mereka lagi dan melihat hal itu beliau bertanya: " Ada apa dengan pohon kurma kalian?"  Mereka menjawab; Bukankah anda telah mengatakan hal ini dan hal itu? Lalu Baginda bersabda: "KALIAN LEBIH MENGETAHUI URUSAN DUNIA KALIAN" [ HR Muslim no: 4358 ]


Antara pengajaran yang boleh kita perolehi dari hadith yang agung ini:

  1. Nabi dan Rasul diutuskan untuk memerintahkan kepada manusia agar mentauhidkan Allah, menunjukkan mereka tatacara ibadah yang benar. Adapun dalam urusan keduniaan yang tidak diwahyukan kepada mereka, Nabi dan Rasul juga tidak terlepas dari ijtihad dan pandangan yang boleh jadi benar dan salah. Ini sebagaimana disebutkan oleh para ulama ketika menjelaskan hadith ini.
  1. Sifat rendah diri Nabi dalam menerima kebenaran dalam urusan keduniaan yang baginda tidak diwahyukan tentangnya. Urusan talqih (kacukan) kurma ini merupakan urusan keduniaan yang Nabi tidak diwahyukan tentangnya, pada mulanya Nabi menyangka hal tersebut tidak perlu atau tanpa talqih, tetap boleh menghasilkan buah kurma yang baik. Namun sangkaan Nabi itu adalah tidak tepat, apabila sahabat yang lebih berpengalaman dalam urusan tersebut menunjukkan natijah daripada meninggalkan talqih menyebabkan buah kurma mereka menjadi rosak.
  1. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam telah mengakui kebenaran sahabat yang melakukan talqih tersebut kemudian Nabi meletakkan kaedah umum dalam urusan keduniaan: " KALIAN LEBIH MENGETAHUI URUSAN KEDUNIAAN KALIAN"
  1. Kaitan hadith ini dengan vaksinasi sangat jelas, jika kita teliti persamaan kedua-dua illah yang wujud iaitu jika proses talqih (kacukan) kurma dapat menjamin kebaikan dan menolak kerosakan buah kurma maka peranan vaksinasi untuk menjamin kebaikan dan menolak penyakit berjangkit bagi manusia lebih aula untuk kita terima sekaligus menyerahkan urusan tersebut kepada mereka yang lebih pakar dalam urusan ini.
  1. Penulis menasihati agar mereka yang berkeras atau menjadikan isu vaksinasi ini seakan-akan satu pegangan akidah, atau usul agama yang tidak boleh ditoleransi ataupun dijadikan asas untuk imtihan (menguji) pegangan orang lain agar bertaqwa kepada Allah, kembalilah kepada Allah, Rasul dan keputusan yang ditetapkan oleh Ulil Amri di kalangan Ulama'dan Umara'.




Wallahu'alam.


MFAZ







Comments