HIKMAH KATAK


Kita selalu akan mendengar suara katak jika kita berada di kampung, setiap kali selepas hujan pasti suara makhluk Allah ini akan kedengaran tidak putus-putus. 

Bagi segelintir di kalangan kita suara katak dianggap tidak sedap didengari, mengganggu itulah yang menyebabkan sering diumpamakan suara yang sumbang dengan suara katak.

Tahukah kita, katak merupakan makhluk Allah yang istimewa? Apa keistimewaannya?

Tentera Allah Yang Diutuskan Kepada Nabi Ibrahim

Katak dikatakan antara haiwan yang cuba membantu memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan dalam Musnad Ahmad dari Ummul Mukminin 'Aisyah RA katanya :

"كانتِ الضفادِعُ تُطْفئُ النارَ عن إبْراهيمَ، وكان الوَزَغُ يَنفُخُ فيه، فنَهى عن قَتلِ هذا، وأمَرَ بقَتلِ هذا"

" Katak antara haiwan yang berusaha memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim, cicak pula meniupnya, maka (Nabi) melarang membunuh katak dan memerintahkan agar dibunuh haiwan ini (cicak) "

[ HR Ahmad dalam Musnad, Ibnu Majah, Sahih Ibnu Hibban, disahihkan oleh Syu'aib Al-Arnauth ] 

Tentera Allah yang diutuskan kepada Firaun dan kaumnya

Firman Allah SWT:

فَأَرۡسَلۡنَا عَلَیۡهِمُ ٱلطُّوفَانَ وَٱلۡجَرَادَ وَٱلۡقُمَّلَ وَٱلضَّفَادِعَ وَٱلدَّمَ ءَایَـٰتࣲ مُّفَصَّلَـٰتࣲ فَٱسۡتَكۡبَرُوا۟ وَكَانُوا۟ قَوۡمࣰا مُّجۡرِمِینَ

Kami pun mengutuskan kepada mereka taufan(banjir besar), dan belalang, dan kutu, dan KATAK, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

[ Surah Al-A'raf: 133 ]

Hanya dengan katak yang diutuskan Allah meruntuhkan tembok kesombongan dan keangkuhan Firaun serta membatalkan dakwaan ketuhanan Firaun, sehingga kiamat orang akan mengatakan: " Bagaimana Firaun itu Tuhan jika katak yang kecil pun dia tidak berjaya menghadapi?". Dikatakan Allah mengutuskan katak yang sangat banyak sehingga memenuhi ruang tidur dan istana Firaun menyebabkan Firaun ketakutan.

Larangan Membunuh Katak

Dalam Islam, Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam melarang membunuh katak. Dari Abd Rahman bin Uthman Al-Taimi RA katanya:

أن طبيبًا سأل النبي صلى الله عليه وسلم ؟ عن ضفدع يجعلها في دواء ، فنهاه النبي صلى الله عليه وسلم ، عن قتلها

 " Ada seorang tabib bertanya kepada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam tentang katak yang dijadikan sebagai ubat, Nabi sallallahu 'alaihiwasallam melarang untuk membunuhnya."

[ HR Abu Daud, An-Nasaie: Sahih ]

Sebahagian Ulama menjelaskan 'illah(sebab) larangan kerana katak adalah binatang yang diharamkan untuk dimakan, ada juga yang menyatakan hikmah yang lain itu hanya Allah yang mengetahui.

Suaranya Tasbih

Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'As RA katanya:

لا تقتُلوا الضَّفادِعَ ، فإنَّ نَقيقَها تَسبيحٌ

Jangan kalian bunuh katak, kerana sesungguhnya suaranya itu tasbih

[ HR Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra dan sanadnya sahih serta mauquf, Siyar al-'Alam An-Nubala 11/404 ] 

Inilah serba sedikit berkenaan katak yang dinyatakan dalam Al-Quran dan Al-Sunnah, pengajaran yang paling besar boleh kita pelajari dari katak adalah suaranya yang bertasbih itu tidak putus-putus menunjukkan begitulah juga kita sebagai hamba Allah, manusia yang dicipta sebaik-baik kejadian sepatutnya tidak dikalahkan oleh binatang sekecil katak dalam semangatnya untuk terus menerus bertasbih.

Begitu juga contohilah semangat katak yang merupakan tentera Allah yang tunduk dan patuh mematuhi perintah Rabbnya dalam membantu hamba dan kekasihnya Nabi Ibrahim dan Nabi Musa untuk menentang kebatilan. Apakah kita berusaha untuk termasuk dalam kalangan tentera Allah dalam menyebarkan Tauhid dan ajaran RasulNya? Atau kita lebih hina berbanding katak? 

Akhir kata seluruh makhluk yang ada di langit dan bumi kita tidak sedar mereka sebenarnya adalah tentera Allah Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ جُنُودُ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِیزًا حَكِیمًا

Dan Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menyeksa orang-orang yang derhaka); dan Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

[Surah Al-Fath: 7]

 وَمَا یَعۡلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَۚ وَمَا هِیَ إِلَّا ذِكۡرَىٰ لِلۡبَشَرِ

dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia

[ Surah Al-Muddaththir: 31 ]

أَلَمۡ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ یُسَبِّحُ لَهُۥ مَن فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلطَّیۡرُ صَـٰۤفَّـٰتࣲۖ 
كُلࣱّ قَدۡ عَلِمَ صَلَاتَهُۥ وَتَسۡبِیحَهُۥۗ وَٱللَّهُ عَلِیمُۢ بِمَا یَفۡعَلُونَ

Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

[ Surah An-Nur: 41]

Semoga Allah memasukkan kita di kalangan hambaNya banyak bertasbih dan membantu agamaNya.


MFAZ

15 Rabi'ul Awwal 1441H/13 NOV 2019



Comments