INI SEBAB MENGAPA KITA TIDAK BOLEH SEMATA-MATA MEMPELAJARI AL-QURAN?







Alhamdulillah pengajian Al-Quran dalam masyarakat hari ini semakin mendapat tempat. Ada yang menyertai kelas tadabbur, tafsir, harfiyah dan sebagainya dengan pelbagai metode dan pelbagai latar belakang guru, ustaz dan ustazahnya. Ini merupakan satu perkembangan ilmu yang perlu disokong, digiatkan dan diperbaiki apa yang perlu.

Namun, 

Hati ini pernah terdetik, mengapa dalam keadaan program-program pengajian Al-Quran dengan pelbagai bentuk metode dan pendekatan ini bercambah dan berkembang bak cendawan tumbuh setelah hujan tetapi masih banyak di kalangan mereka yang mempelajari Al-Quran  masih tidak boleh membezakan antara kebenaran dan kebatilan? Masih terjebak dalam aliran sesat, penyelewengan seperti syirik, bid'ah dan pertentangan terhadap syariat. 

Dalam keadaan khalayak yang semakin celik Al-Quran tapi masih ada di kalangan mereka yang tidak segan menyokong idea-idea gerakan anti-hadith seperti Rasyad Khalifa, Kassim Ahmad?, masih ada yang membaca Al-Quran namun berani menyokong idea Sosialis, komunis dan syiah?, masih ada yang membaca Al-Quran namun menyokong bid'ahnya Jahmiyyah yang menolak ayat-ayat sifat dan golongan yang mentakwil dan mentahrifkan ayat-ayat Allah?, masih ada yang menyokong idea gerakan neo-Muktazilah yang menuhankan akal fikiran seperti gerakan Liberalisme dan Modernisme, masih ada yang menyokong gerakan Khawarij yang ekstrem dan pengganas seperti Daesh dll, masih ada yang senang diperbodohkan oleh guru-guru ajaran dan tarikat sesat bahkan masih ada yang menjadikan Al-Quran sebagai perkakas sihir dan bahan perbomohan.

Setelah meneliti realiti ini maka teringatlah penulis akan jawapan bagi segala persoalan ini dalam sebuah hadith yang dinukilkan oleh Hafiz Al-Maghrib Imam Ibn Abdil Bar rahimahullah (Wafat:463H) dalam Kitabnya Jaami' Bayan Al-'Ilmi yang diletakkan beliau dalam satu bab, katanya:

باب فيمن تأوَّل القرآن وتدبّره وهو جاهل بالسنة

" Bab (penjelasan) tentang mereka yang MENTAKWIL Al-Quran dan MENTADABBURINYA sedangkan dia JAHIL tentang AL-SUNNAH "

Kemudian kata beliau:

أهل البدع أجمع أضربوا عن السنة وتأولوا الكتاب على غير ما بينت السنة فضلوا وأضلوا، ونعوذبالله من الخذلان ونسأله التوفيق والعصمة 

" Ahli bid'ah keseluruhannya berpaling daripada Al-Sunnah dan mentakwil Al-Kitab mengikut apa yang SELAIN penjelasan Al-Sunnah lantas mereka SESAT dan MENYESATKAN,  kita meminta perlindungan kepada Allah daripada kesesatan dan kita memohon taufiq dan 'Ismah (Penjagaan)"  

Beliau kemudian membawakan dengan sanadnya daripada Uqbah bin Amir Al-Juhani RA katanya: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

هلاك أمتي في الكتاب واللبن، فقيل: يا رسول الله، ما الكتاب واللبن؟ قال: " يتعلَّمون القرآن ويتأولونه على غير ما أنزله الله عزوجل، ويحبون اللبن فيدعون الجماعات والجمع ويبدون

" Kebinasaan ummatku adalah pada Al-KITAB dan susu, lalu ditanyakan oleh sahabat: Wahai Rasulullah, apakah maksudnya AL-KITAB dan susu?

Jawab Baginda:

" MEREKA MEMPELAJARI AL-QURAN dan MENTAKWILNYA menurut penjelasan SELAIN apa yang diturunkan Allah azza wa Jalla (Al-Sunnah), dan mereka menyintai susu lantas meninggalkan Jamaah, dan Solat Jumaat dan bersendirian di pedalaman"  

[ HR Ahmad, Abu Ya'la dan Ibn Abd Bar dalam Jaami Bayan al-'Ilmi 2/1199, dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Silsilah Al-Sahihah no:2778, dan hasan oleh Syu'aib Al-Arnaut dalam Takhrijnya terhadap Musnad ] 

Inilah sebenarnya jawapan yang mententeramkan hati daripada Al-Sodiqul Masduq Abul Qasim Muhammad Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. PUNCA segala KESESATAN dan PENYELEWENGAN bukanlah semata-mata tidak membaca dan mempelajari Al-Quran namun punca utamanya adalah apabila adanya golongan yang mempelajari, mentafsir dan tadabbur Al-Quran sambil berpaling dari penjelasan Al-Sunnah.

Nasihat dan cadangan penulis kepada mana-mana pihak yang menganjurkan program pengajian Al-Quran sama ada berbentuk tafsir, tadabbur dan sebagainya, hendaklah mereka berwaspada dari ancaman Nabi ini dan jangan terlampau berani dan bebas ketika mengulas ayat-ayat Al-Quran sehingga terkeluar dari petunjuk dan penjelasan Al-Sunnah kerana ia hanya menatijahkan KESESATAN & PENYESATAN.

Kemudian hendaklah guru-guru dan pusat-pusat pengajian memperluaskan pengajian Tafsir Al-Quran secara Tafsir bil Ma'thur dan penulisan tokoh-tokoh Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dikenali manhaj dan akidahnya seperti Tafsir Ibn Kathir, Al-Tabari, Al-Si'di dan sebagainya kerana inilah satu-satunya metode yang sangat sesuai pada zaman kini yang kita melihat sangat banyak keraguan, syubhat dan kesesatan yang disebarkan menggunakan Al-Quran seiring dengan perkembangan zaman.





Kita dan mereka yang mempelajari Al-Quran semata-mata tidak boleh merasa selesa dan mendabik dada kononnya tidak akan tersesat selagi mempelajari Al-Quran kerana bukankah juga Allah menyebutkan RAMAI yang disesatkan Allah melalui Al-Quran?  ( يضل به كثيرا ويهدي به كثيرا ). Jelaslah mengapa perlu diseiringkan pengajian Al-Quran dengan pengajian Al-Sunnah seperti Akidah, Tafsir, Hadith, Manhaj dan ilmu-ilmu yang lain kerana jika tidak kita akan termasuk dalam golongan yang disebutkan oleh Nabi Sallallahu'alaihiwasallam.



Ya Allah matikanlah aku di atas Al-Sunnah.


Muhammad Fashan bin Ahmad Ziadi
10 Ramadhan 1440H/15 Mei 2019



Berminat untuk menyertai pengajian komprehensif dalam semua bidang yang diperlukan untuk memahami Al-Quran mengikut Al-Sunnah ? Sila rujuk link di bawah:


Comments