BENARKAH DOA INI DAPAT MENGHINDARI HAIWAN BERBISA?




Beberapa hari ini kecoh dalam media  massa berkenaan binatang berbisa yang masuk ke dalam rumah akibat cuaca panas yang melanda negara. Kemudian tersebarlah sebuah poster yang menyatakan doa untuk menghindari binatang berbisa dengan membawakan ayat 79 dari surah Al-Saaffaat.


سَلٰمٌ عَلىٰ نوحٍ فِى العٰلَمينَ


"Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam "


Setelah membuat sedikit semakan yang tidak seberapa ini ternyata doa ini disebutkan oleh Ibnu Abdil Bar (wft:463H) dalam Kitabnya Al-Tamhid lima fi al-Muwato' min al-Ma'ani wa Al-Asanid 21/241, jelas beliau:


قال سعيد وبلغني أنه من قال حين يمسي سلام على نوح في العالمين لم تلدغه عقرب


" Kata Sa'id ( Ibn Abd Rahman Al-Jumahi) : dan telah sampai kepadaku bahawasanya barangsiapa yang mengatakan ketika waktu petang " Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam" dia tidak akan disengat oleh kala jengking". 


Sa'id bin Abd Rahman Al-Jumahi Abu Abdillah Al-Madini merupakan Qadhi Baghdad yang berasal Madinah, dari sudut statusnya, Ibnu Hajar menilainya sebagai Soduq  (w:176H)  Apa yang disampaikan oleh Sa'id ini jika kita teliti semula bermaksud beliau ingin menetapkan harusnya ruqyah atau doa dengan ayat Al-Quran kerana Al-Quran adalah Kalamullah, demikian jugalah yang dinyatakan oleh Ibnu Abdil Bar dalam Al-Tamhid.


NARATIF MELAYU TERHADAP NABI NUH 


Namun perlu berhati-hati jika doa ini diucapkan dengan keyakinan kononnya Nabi Nuh masih hidup dan ditugaskan Allah sebagai penjaga haiwan di atas muka bumi kerana ia adalah keyakinan orang melayu dahulu sebagaimana yang disebut dalam kitab-kitab perbomohan dahulu kala.


Jika dibaca ayat ini dengan niat berdoa atau ruqyah(jampi) dengan Kalimah Allah, kerana Al-Quran adalah Kalamullah dan bukan makhluk maka hukumnya harus, namun jika niat membaca doa tersebut seperti memberi Salam kepada Nabi Nuh dan meyakini baginda masih hidup maka hukumnya adalah syirik akbar- wal'iyazubillah- kerana meminta pertolongan dari makhluk ghaib adalah kufur.


DOA YANG SAHIH


Sebenarnya doa perlindungan dari makhluk berbisa seperti ular, kala jengking dan lain-lain sudah ada yang sahih, iaitulah apa yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Muslim, dan selainnya (lafaz Imam Abu Daud):


حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يُونُسَ حَدَّثَنَا زُهَيْرُ حَدَّثَنَا سُهَيْلُ بْنُ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ سَمِعْتُ رَجُلًا مَنْ أَسْلَمَ قَالَ

كُنْتُ جَالِسًا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِهِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لُدِغْتُ اللَّيْلَةَ فَلَمْ أَنَمْ حَتَّى أَصْبَحْتُ قَالَ مَاذَا قَالَ عَقْرَبٌ قَالَ أَمَا إِنَّكَ لَوْ قُلْتَ حِينَ أَمْسَيْتَ أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ لَمْ تَضُرَّكَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ


Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Yunus telah menceritakan kepada kami Zuhair telah menceritakan kepada kami Suhail bin Abu Soleh dari Ayahnya dia berkata, 


" Aku mendengar seorang lelaki yang berasal dari Aslam berkata, "Aku pernah duduk di sisi Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, kemudian seorang sahabat datang dan berkata:


"Wahai Rasulullah, tadi malam aku terkena sengatan hingga aku tidak boleh tidur hingga pagi hari?" Beliau bertanya: " Apa yang menyengat?" Sahabat tersebut menjawab: "Kalajengking." 


Beliau bersabda: "Seandainya pada waktu petang engkau mengucapkan; 


أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ


(Aku berlindung kepada kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari keburukan makhluk yang Allah ciptakan) ', maka binatang tersebut tidak akan membahayakanmu insya Allah."  


Kesimpulannya berhati-hatilah dalam menyebarkan doa-doa yang berkaitan dan cukupkanlah kepda masyarakat dengan doa-doa yang sahih kerana dibimbangi akan ada di kalangan mereka yang masih terpengaruh dengan naratif perbomohan melayu lama yang boleh menjerumuskan kita ke dalam kesyirikan tanpa sedar-wal'iyazubillah-.



Wallahu'alam.





Comments