ZIKIR PAGI: DUA PERKARA YANG PERLU KITA LAZIMI UNTUK MENJAMIN AGAR SENTIASA MENDAPAT BIMBINGAN ALLAH.





Imam Ibnul Qayyim rahimahullah menyebutkan dalam Al-Wabil Al-Soyyib, seluruh golongan 'arifin bersepakat bahawa petunjuk taufiq (bimbingan dan penjagaan) dari Allah itu adalah Allah tidak akan membiarkan kita bergantung dan bersandar kepada diri kita sendiri. Pengabaian Allah kepada kita pula akan berlaku bila kita menyandarkan diri dan bergantung kepada diri kita sendiri.


Contohnya, jika kita merasakan kebaikan yang kita lakukan atau kelebihan yang kita ada itu adalah disebabkan kehebatan, kepintaran, kekuatan diri kita sendiri maka Allah akan biarkan kita dengan diri kita sendiri lalu Dia akan membiarkan kita terus sesat tanpa petunjuk dan taufiqNya. 


Untuk menjamin kita sentiasa memperoleh Taufiq dari Allah, perlulah kita melazimi dua perkara ini:


• Mengakui nikmat Allah

• Muhasabah dan menelaah keaiban diri sendiri (dosa-dosa) yang melazimkan amalan ketaatan antaranya adalah taubat dan istighfar.


Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Syeikhul Islam Abu Ismail Al-Harawi rahimahullah:


" Seorang yang 'Arif akan berjalan menuju kepada Allah dengan sentiasa mengakui (dan mensyukuri) kurniaan nikmat Allah serta sering menelaah keaiban diri lalu disertakan dengan amalan" 


Dua perkara inilah yang terkandung dalam Sayyidul Istighfar yang diperintahkan untuk sentiasa kita lazimi setiap pagi dan petang:


اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ


" Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang berhak diibadahi selain Engkau. Engkau telah menciptakanku dan aku adalah hambaMu. Aku menetapi perjanjian-Mu dan janjiMu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepadaMu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui dosaku kepadaMu dan aku akui nikmatMu kepadaku, maka ampunilah aku. Sebab tidak ada yang dapat mengampuni dosa selainMu)."   [ HR Al-Bukhari ] 



Wallahu'alam.

Comments