TRADISI NENEK MOYANG

Bercakap tentang tradisi nenek moyang, ini antara topik yang paling sensitif kalau dibahaskan dalam agama. Sebab apa dikatakan " paling sensitif?, jawapannya kerana...

Ia adalah tembok pertama yang dijadikan pendinding bagi musuh-musuh Rasul yang cuba diruntuhkan oleh para Nabi dan Rasul ketika mereka berdakwah kepada umat mereka. Demikianlah para pengikut mereka sehingga kiamat

Rujuk sahaja dalam Al-Quran, ada lebih kurang beberapa ayat yang sempat dibawakan di sini antaranya:



Maksudnya:

Dan apabila dikatakan kepada mereka' Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah' mereka menjawab: '(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya'. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)? Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.  [ Al-Baqarah:170 ] 



Maksudnya:

Dan apabila dikatakan kepada mereka: 'Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)', mereka menjawab: 'Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya'. Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?

[ Al-Maidah:104 ] 




Maksudnya:

(Mendengarkan yang demikian), Nabi Musa bertanya: Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu? Adakah bawaanku ini sihir? Sedang ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya'. Mereka pula berkata: 'Adakah engkau datang (wahai Musa) untuk memesongkan kami dari penyembahan berhala yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya, dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)? Dan (ketahuilah) sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua'. [ Yunus:77-78 ]



Maksudnya:

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu jalan yang benar dalam bertauhid, dan Kami adalah mengetahui akan halnya. Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: 'Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?' Mereka menjawab: 'Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya'. Ia berkata: 'Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata'...  [ Al-Anbiya':51-54 ]


Keseluruhan ayat ini sebenarnya adalah apa yang disebutkan oleh para Ulama sebagai tabiat jahiliyyah yang ditentang oleh para Nabi dan Rasul iaitu alasan " Pengagungan dan ikutan terhadap tradisi nenek moyang" yang digunakan untuk menolak Tauhid dan Al-Sunnah, untuk menentang perintah Allah dan Rasul. Inilah tembok yang paling mencabar untuk diruntuhkan oleh Para Nabi dan Rasul walaupun pada hakikat tembok ini sangatlah rapuh apabila ia pasti akan dihancurkan melalui hujjah wahyu.

Dalam Kitab Permulaan Wahyu Sahih Al-Bukhari diriwayatkan ketika Abu Sufyan ditanya oleh Heraclus berkenaan "SERUAN NABI MUHAMMAD"? lalu beliau menjawab inti seruan Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam :




" Sembahlah Allah sahaja dan janganlah kamu menyekutukanNya dengan sesuatu apa pun DAN TINGGALKANLAH APA YANG DIKATAKAN( DIPEGANG) OLEH NENEK MOYANG KAMU!"   


[ HR Al-Bukhari no: 7 ]


Ini jugalah yang mendorong musuh-musuh Islam seperti orientalis dan badan-badan pengkaji barat mengusahakan beberapa kajian seperti RAND dan sebagainya untuk cuba menghidupkan segala alasan "Jahiliyyah" ini dengan seruan "Menghidupkan semula Tradisi". Lihat sahaja gesaan Unesco supaya amalan-amalan tradisi yang jelas mengandungi unsur-unsur Syirik seperti Mak Yong tidak disekat dan dibiarkan ia disebar atas nama kebebasan dan tradisi. Hal ini sebenarnya tidak lebih kurang merbahayanya seperti seruan agar dibenarkan LGBT, murtad dan pluralisme di dalam negara-negara Umat Islam.



Di negara kita dan juga jiran kita di Indonesia misalnya kita melihat banyak tradisi syirik yang masih berleluasa. Lihat sahaja pengajaran apa yang berlaku di Palu, apakah punca gempa bumi itu berlaku?, jika kita ada sekelumit rasa Iman dalam hati pasti kita akan mengatakan ia adalah berpunca dari ritual dan tradisi kesyirikan yang diamalkan di sana pada malam sebelum gempa bumi berlaku. Anda hanya perlu rajin " Search di Youtube atau Google" anda akan dapati apa yang disampaikan oleh penulis adalah benar.









Di negara kita pula, masih banyak tangkal, azimat, wafaq dan buku-buku sihir yang dijual melalui online yang mudah dicapai, ritual perbomohan dianggap  biasa dan mudah "diislamkan" bagi sebilangan besar mereka yang bergelar Ustaz, imam dan pendakwah. Inilah cabaran sebenar bagi pendakwah Tauhid dan Sunnah.

Persoalan yang perlu dilontarkan adakah tradisi sebegini juga perlu dibiarkan?. Apakah punca dan akar bagi segala masalah ini?

InsyaAllah Penulis akan mengupas secara terperinci berkenaan sebahagian topik-topik ini dalam kuliah khas yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat di Yayasan Ta'lim nanti. Semoga Allah memberikan kekuatan.  ولا حول ولا قوة إلا بالله


MFAZ
8 Syawwal 1440H

Comments