BOLEHKAH MENYAMBUT DAN MERAYAKAN MAULID NABI?

Ulama Islam telah bersepakat perayaan yang diizinkan syarak untuk disambut hanyalah Aidilfitri (1 Syawwal), Aidiladha (10 Zulhijjah), hari-hari tasyriq ( 11, 12 dan 13 Zulhijjah), hari Arafah ( 9 Zulhijjah) bagi mereka yang mengerjakan haji dan hari jumaat (hari raya mingguan). 

Larangan Berpuasa

Dalam hadith yang sangat banyak menunjukkan antara ciri-ciri hari yang diperintahkan syariat untuk dirayakan dengan menyambutnya adalah pada hari tersebut diharamkan kita untuk berpuasa.

Contohnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, kita diharamkan untuk berpuasa menunjukkan ia sememangnya hari perayaan. Begitu juga hari jumaat yang merupakan hari raya mingguan sebahagian ulama memakruhkan menunggalkan puasa pada hari tersebut kerana ada larangan dari Nabi Sallallahu’alaihiwasallam. Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

إن يوم الجمعة يوم عيد، فلا تجعلوا يوم عيدكم يوم صيامكم إلا أن تصوموا قبله أو
بعده

"Sesungguhnya hari Jumaat adalah Hari Raya, maka janganlah kamu jadikan pada hari raya kamu sebagai hari puasa kamu kecuali kalau kamu berpuasa sebelumnya atau selepasnya." [ Musnad Ahmad, Al-Mustadrak 1/437, Sahih Ibnu Khuzaimah 3/315-316]

Dari Ali bin Abi Talib RA katanya:

من كان منكم متطوعا من الشهر فليكن صومه يوم الخميس ولا يصوم يوم الجمعة،
فإنه يوم طعام وشراب وذكر

“Barangsiapa di kalangan kamu yang hendak berpuasa sunat dalam sebulan maka hendaklah dia berpuasa pada hari khamis dan janganlah dia berpuasa pada hari jumaat kerana sesungguhnya ia adalah hari makan, minum dan zikir." [ Musannaf Ibn Abi Syaibah 3/44, Fathul Bari 4/235, isnadnya hasan menurut Ibnu Hajar ]

Jelas Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah:

وقد سمى النبي صلى الله عليه وسلم الجمعة عيدة في غير موضع ونهي عن إفراده
بالصوم لما فيه من معنى العيد

“Nabi Sallallahu 'alaihiwasallam telah menamakan Hari Jumaat sebagai Hari Raya dalam banyak tempat dan baginda menunggalkannya dengan berpuasa kerana padanya terdapat makna al-eid (perayaan)”  [Iqtidha Siratal Mustaqim 1/452 ]

Hari Tasyriq dan Mina 

Begitu juga hari tasyrik dan hari mina disebutkan oleh Nabi Sallallahu’alaihiwasallam sebagai hari makan, minum dan berzikir. Bagi mereka yang mengerjakan haji tidak dibolehkan untuk berpuasa. 

Dari Aisyah RA bahawa Abu Bakr RA pernah masuk ke dalam rumahnya dan disisinya ada dua orang Jariah (hamba wanita) pada hari-hari Mina (hari-hari Tasyriq) sedang menyanyi dan memukul gendang sedangkan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menutupkan dengan pakaiannya lalu Abu Bakar mengingkari kedua-dua Jariah tersebut lalu Nabi Sallallahu’alaihiwasallam membuka wajahnya dan bersabda:

دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد

“ Biarkanlah kedua-dua mereka wahai Abu Bakr, kerana sesungguhnya hari ini adalah hari-hari raya” [ Sahih Al-Bukhari ni:934, 3266,3638, Sahih Muslim no:1480, Sunan An-Nasaie no:1579 ]

Imam An-Nawawi rahimahullah menjelaskan:

أيام منى" يعني: الثلاثة بعد النحر وهي أيام التشريق ففيه أن هذه الأيام داخلة في أيام العيد وحكمه جار عليها في كثير من الأحكام لجواز التضحية وتحريم الصوم واستحباب التكبير وغير ذلك

“ Hari-hari Mina iaitulah: tiga hari setelah hari An-Nahr(10 Zulhijjah) dan ianya merupakan hari-hari Tasyriq, hari-hari ini termasuk dalam hari-hari raya dan hukumnya berlangsung ke atasnya dalam banyak hukum hakam antaranya harusnya korban, pengharaman berpuasa (pada hari-hari tersebut) dan digalakkan untuk bertakbir dan selainnya” [ Syarh Sahih Muslim 6/184 ]

Ibnu Rajab menyebutkan:

إنما نهى عن صيام أيام التشريق؛ لأنها أعياد للمسلمين مع يوم النحر فلا تصام وفي النهي عن صيام هذه الأيام والأمر بالأكل ..بمنى

“ Sesungguhnya larangan dari berpuasa pada hari-hari tasyriq adalah kerana ia adalah hari perayaan untuk kaum muslimin bersama-sama dengan hari Nahar, maka tidak dibolehkan berpuasa di Mina dan dalam larangan berpuasa pada hari-hari ini kerana adanya perintah supaya makan... [ Lataaif al-Ma’arif Ibn Rajab 304-305 ]

Maulid Nabi

Adapun hari kelahiran Nabi iaitulah penetapan tarikhnya maka Ulama tidak pernah bersepakat dalam menentapkannya bahkan perselisihan yang berlaku sangat banyak. Ini menunjukkan tarikh kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam bukanlah sesuatu yang diperintahkan syariat untuk dijadikan perayaan atau disambut. Kerana kalau ia diperintahkan untuk disambut tentulah Nabi Sallallahu’alaihiwasallam akan menjelaskan kepada umatnya bila tarikh kelahirannya secara tepat.

Ulama hanya bersepakat bahawa hari kelahiran Nabi adalah pada hari isnin berdasarkan hadith Abi Qatadah Al-Ansari RA katanya: Nabi ditanya tentang puasa hari Isnin, jawab baginda:

ذاك يوم ولدت فيه،ويوم بعثت-أو أنزل علي فيه-

Hari tersebut(Isnin) hari yang padanya aku dilahirkan, dan hari yang padanya aku dibangkitkan atau diturunkan (wahyu) kepadaku. [ HR Muslim no:1162 ]

Justeru sekali lagi yang perlu kita fikirkan jika hari isnin merupakan hari kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam dan baginda berpuasa pada hari tersebut. Mengapa Nabi tidak meninggalkan puasa, makan dan minum atau memerintahkan supaya hari tersebut disambut dengan makan, minum serta bergembira seperti hari-hari perayaan yang lain? 

Ini jelas sekali membuktikan hari kelahiran baginda bukanlah hari yang diizinkan syariat untuk dirayakan dan disambut.

Wallahu’alam.



MFAZ

Comments